Sambungan...
Wahhabiy Orang Belajar Di Arab Saudi??..
Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Saya kata saya tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian, kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali.
Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’. Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab.
Saya hanya menganggapnya salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fiqh yang ulung untuk dirujuk fatwa-fatwa fiqhnya. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadith, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak keras. Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun sumbangannya tidak dilupakan.
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir).
Bahkan Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).
Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!.Antara kitab-kitab yang saya ajar ialah kitab fekah mazhab al-Imam al-Syafi’i. Saya baca kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i kerana ia agak mudah untuk generasi muda. Namun apabila saya menyebut apa yang terkandung dalam kitab tersebut yang tidak sama dengan amalan masyarakat, maka dituduh wahabi. Bersambung...
