Nama beliau sinonim dengan sekolah bagi remaja nakal/liar/jahat...Siapakah tokoh di sebalik nama bagi sekolah ' orang-orang jahat' ini di tanah air kita..? Kenapa diambil sempena dengan nama beliau ..Ya boleh dibuat kajian lanjut. Berikut dapatan satu dari laman Malaysiakini..
Catatan 1:
Catatan 1:
|
Kempen politik sedang berjalan rancak di Hulu Selangor. Petang itu suhu alam di Kuala Kubu Baru agak panas lalu aku mencelah ke lereng bukit menuju ke arah Bukit Fraser. Wilayah yang sejarahnya dimiliki oleh budaya kiri. Sesiapa yang ada yang membaca buku sejarah pasti akan bertemu dengan 'babak' selekoh Bukit Fraser - Henry Gurney, Ulu Yam dan Batang Kali. Batang Kali, sejarahnya samalah seperti My Lai Massacre di Vietnam – di mana orang kampung telah disusun berbaris kemudian ditembak mati seorang demi seorang kerana menyokong perjuangan anti kolonial. Warga di sekitar kawasan lereng pergunungan ini kebanyakan menyokong perjuangan kiri – Kalumpang, KKB, Behrang, Slim River – semuanya memiliki sejarah kiri yang merah. Hanya kolonial British meletakkan kawasan ini sebagai kawasan hitam – hitam untuk penjajah – merah untuk rakyat. Manakala, di salah satu selekoh di Jalan Bukit Fraser ialah tempat terkuburnya Henry Gurney. Henry Gurney ini adalah orang jahat. Di Palestine, susuk ini menjadi setiausaha kerajaan kolonial British Mandate (1946-1948). Orang jahat ini juga pernah bertugas di Afrika sebelum menjadi wakil kolonial British di Tanah Melayu. Di lereng Bukit Fraser, orang jahat ini telah ditembak mati oleh gerila pembebasan rakyat Malaya dibawah pimpian Parti Komunis Malaya. Justeru setiapkali aku melintasi lereng Bukit Fraser aku akan bersurah kepada sesiapa sahaja yang duduk di sebelah aku tentang babak bersejarah yang amat membanggakan ini. Pada tahun 1971 bila aku mula berkenalan dan jatuh cinta dengan perjuangan rakyat Palestin aku terbaca bagaimana gembiranya rakyat Palestin apabila mendapat tahu yang Sir Henry Gurney telah ditembak mati. Ertinya ada pertalian darah yang amat intim antara Palestine dan Tanah Melayu. Bukit Fraser di kaki banjaran Titiwangasa sebelah barat - pergunungan ini bersambung ke Pahang - ke Temerloh dan Lubuk Kawah. Lubuk Kawah adalah wilayah kelahiran Regimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya. Gunung-ganang ini tidak dapat memisahkan setiakawan dan solidariti kaum tani progresif Melayu di Temerloh dengan kaum kiri buruh Cina di Batang Kali. Justeru bila aku datang ke KKB - aku hanya mengulangi perjalanan sejarah kiri yang gilang-gemilang itu. Setiakawan bangsa-bangsa amat ketara di wilayah ini. Solidariti ini berjalan dari awal lagi - dibakar, dicair dan di pahat di zaman menentang kolonial. Hulu Selangor adalah wilayah Ahmad Boestamam, wilayah Pak Sako. Di awal permulaan Perang Kolonial 20 Jun 1948, ratusan Melayu kiri ditahan di wilayah ini. * Baca kembali sejarah, maka kita akan berbangga dengan warga Hulu Selangor. Tahun 2010 sejarah berulang lagi. Kali ini aku di Kuala Kubu Baru untuk menerangkan kepada warga Hulu Selangor bahawa ejen-ejen Zionis Isreal telah mula meresap sekali lagi ke tanahair kita. Kalau dulu ejen Zionis menyerap masuk melalui susuk Henry Gurney, kali ini ia meresap dan merayap masuk di atas jemputan United Malays National Organisation. Zionis Israel sekarang telah memasang jerangkap yang bertahan lama, bukan sahaja dalam pentabiran kerajaan, malah ia meresap hingga ke struktur pertahanan dalaman negara kita. Justeru sesiapa yang hadir dan bekerja di pilihan raya kecil Hulu Selangor dua minggu lalu, sebenarnya sedang meneruskan tradisi melawan penjajah. Kalau dulu PKM membunuh dan membasmi Henry Gurney yang menjajah Palestin, kali ini kita berjuang untuk membasmi - Apco-Umno - zionis internasional dan tempatan. Petang itu aku ingin ke Pertak untuk merendamkan badan di celah-celah limpahan sejuk air gunung yang kini menjadi tadahan empangan besar. Meninggalkan pekan KKB, aku memasuki wilayah hutan yang redup. Kemudian di kaki bukit kereta kami ditahan oleh satu pasukan polis yang lengkap bersenjata. Ini mengingatkan aku kepada apa yang terjadi di Israel di mana saban hari warga Gaza akan dihantui oleh pelbagai bentuk sekatan jalan raya. Sekatan jalan raya ini adalah senjata yang telah digunakan oleh British untuk memagar anak-anak negeri di tanah-tanah jajahan daripada bebas bergerak. Di zaman perang Kolonial Anti-British di Tanah Melayu dahulu, bukan sahaja sekatan jalan raya diwujudkan, malah pekan-pekan kecil dan kampung-kampung baru juga dipagar dengan kawat berduri. Jentera kolonial British sesudah perang dunia kedua telah menggunakan pelbagai teknik untuk menundukkan rakyat Palestine agar menerima kewujudan Zionist Israel untuk menduduki tanah Palestin pada tahun 1948. Penjajah British telah mengumpulkan pengalaman menjajah Arab di Palestine kemudian membawa teknik menjajah ini ke Tanah Melayu. Dalam tahun 1948 yang sama, kolonial British telah melancarkan Perang Kolonial di Tanah Melayu. Lihat bagaimana pegawai kolonial British yang telah pernah bertugas di Palestin telah membawa pengalaman mereka menindas warga Arab untuk menindas orang Melayu. Kerana itu apabila Henry Gurney dibunuh di Bukit Frazer, warga Palestine bersyukur gembira. Sejarah berulang sekali lagi. Hari ini Apco adalah badan zionis yang diupah untuk menasihatkan pentabiran Malaysia. Tidak dapat tidak Apco ini memiliki strategi berjangka lama. Waspada! Gerakan Zionis antarabangsa adalah anai-anai - licik dan tersusun. Kereta yang aku tumpangi - setelah diperiksa - dibenarkan bergerak. Kami terus meluncur mendaki jalan berliku-liku ke arah pergunungan Bukit Fraser. Dari Laman malaysiakini.. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan