Halaman

Rabu, 6 Julai 2011

Daulat Tuanku!!... Titah Tuanku Untuk Perhimpunan BERSIH 2.0...

Salam Pembaca Budiman,

Cikgu adalah orang yg mengkagumi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.. Baginda melangkau kuasa politik.

Dibawah cikgu siarkan titah Tuanku mengenai BERSIH 2.0:



Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.


Daulat Tuanku!!..Titah Tuanku wajib dipatuhi, terutama buat pimpinan negara yang diterajui Dato Seri Najib Tun Razak.. Betapa malu Najib kerana soal ini pun, terpaksa Tuanku yang campur tangan. Dimana kredibiliti beliau sebagai seorang Perdana Menteri??..

Kenapa tak terus diajak berunding sahaja?... Malah Najib dengan angkuh mengeluarkan respon mengenai titah baginda "Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah"..

Apakah ini akhlaq seorang Perdana Menteri?.. Cuma tahu memfitnah, memprovokasi dan menuduh gabungan BERSIH dengan berbagai bagai tuduhan?..

Orang muda, bangkitlah... Tentanglah kezaliman dan ketidakadlilan kerajaan yang ada sekarang.... Moga kita diberikan suatu masa nanti dengan kerajaan yang lebih baik dari kerajaan ini... Ameen...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan