Halaman

Khamis, 26 Mei 2011

MENGAPA KITA HARUS BERTUKAR KERAJAAN??..

A. Kerajaan amanah dan cekap VS Kerajaan korup dan lembab



1. Sejak 1998, setiap tahun Malaysia mencatat bajet defisit yang berjumlah berbillion ringgit. Bajet defisit bermaksud negara membelanjakan lebih daripada apa yang ia peroleh, bermakna negara terpaksa berhutang.



2. Sehingga 2011, hutang negara kira-kira RM440 billion atau hampir 60% daripada KDNK. Menjelang 2019, hutang negara dijangka mencapai 100% daripada KDNK, negara akan diisytihar bankrup seperti Greece.



3. Pendapatan kerajaan tahun 2010 ialah RM180 billion sedangkan bajet bagi 2011 ialah RM212 billion. Pada Mac 2011, bajet tambahan sebanyak RM13 billion diperlukan lagi menjadikan defisit bajet bagi 2011 sahaja setakat ini ialah RM45 billion.



4. Kerajaan Selangor pada 2010 mencatatkan bajet seimbang, iaitu tidak ada hutang dan tidak ada lebihan. Kerajaan Pulau Pinang pula pada tahun yang sama mencatat bajet lebihan. Pencapaian ini jauh lebih baik berbanding semasa berada dalam pentadbiran Barisan Nasional.



5. Pada 2010, Ketua Audit Negara memberi 4 bintang kepada kerajaan negeri Selangor dalam mengurus kewangan negeri iaitu markah tertinggi berbanding negeri-negeri lain.



6. Pada 2010, buat pertama kali dalam sejarah, negara kenit Singapura yang tidak memiliki sumber bumi memperoleh KDNK yang lebih besar daripada Malaysia!



7. Ketua Audit Negara pada 2010 melalui laporannya menyatakan negara kerugian RM28 billion setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan, dan rasuah yang berleluasa dalam pentadbiran kerajaan. Jumlah wang tersebut cukup untuk menampung defisit negara, tidak perlu berhutang.



8. Gaji CEO SYABAS ialah RM425 000 sebulan adalah sangat tidak munasabah, 5 kali ganda lebih tinggi daripada gaji CEO Bank of China! SYABAS bukanlah syarikat konglomerat yang menguasai pasaran dunia, ia cuma perlu mengurus air sebuah negeri bukan mencipta air! Begitu juga dengan gaji para pegawai syarikat kroni BN yang lain seperti PLUS.



9. Bagaimana Rosmah boleh mendapat dana RM111 juta untuk projek Permata Pintar sedangkan Sekolah Agama Rakyat hanya diperuntukkan RM95 juta walaupun jumlah muridnya amat jauh lebih besar. Tidak ada satu menteri pun yang peroleh peruntukkan lebih besar daripada Rosmah yang bukannya seorang menteri. Ini tidak termasuk penginapan beliau di sebuah hotel di Dubai berkos RM140 000 semalam.



10. Terdapat banyak lagi projek-projek kerajaan pusat yang sangat membazir dan bodoh. Contohnya, projek email 1Malaysia.



11. Orang Melayu sering ditakut-takutkan seperti mana TV3 menakut-nakutkan orang Melayu dengan cerita-cerita hantu. Melayu ditakutkan dengan menyatakan bahawa kerajaan Selangor dikuasai Cina, lebih baik pilih kerajaan BN yang rasuah, kerana duit rasuah itu dapat kepada Melayu UMNO. Apa guna segelintir kecil Melayu UMNO kaya kerana rasuah sedangkan sebahagian besar orang Melayu semakin teruk dibelenggu kos sara hidup yang tinggi? Penyelewengan dalam kerajaan BN juga bukan lah semuanya menguntungkan Melayu UMNO, bahkan orang Cina MCA juga mendapat habuan yang teramat besar seperti penyelewengan berbillion ringgit melalui projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).



12. Untungnya ada parti Islam dalam Pakatan Rakyat ialah mereka akan memastikan PKR dan DAP tidak akan melakukan penyelewengan kerana perjuangan mereka adalah ikhlas kerana Allah.



13. Orang Melayu tidak perlu takut dengan DAP kerana mereka tidak akan bersikap bodoh untuk meneruskan juga agenda Malaysian Malaysia, oleh kerana jumlah kerusi parlimen bukan muslim cuma 31% maka samada BN atau PR yang menang, muslim tetap memegang kuasa tawar-menawar.



14. Kekalahan UMNO tidak bermaksud kekalahan Melayu, kerana jika UMNO kehilangan kerusi bermakna PAS dan Melayu PKR menambah kerusi.



B. 4 perkara paling membelenggu hidup rakyat (rumah,kenderaan,petrol,tol)



RUMAH



1. Hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia dengan kadar 140% berbanding negara kaya mahupun negara miskin lain seperti Amerika Syarikat (123.3%), Singapura (103%), Korea Selatan (101%), Thailand (52.7%), Indonesia (38%). 2 hutang terbesar yang diambil rakyat Malaysia ialah pinjaman rumah dan pinjaman kenderaan.



2. Harga rumah meningkat begitu mendadak dalam masa 10 tahun kebelakangan ini kerana kerajaan membenarkan begitu banyak projek perumahan mewah dibina berbanding projek rumah mampu milik.



3. Banyak kondominium yang telah terjual tetapi tiada penghuni kerana pembelinya (termasuk warga asing) membeli untuk dijual semula (spekulasi harga). Situasi ini dibimbangi akan menjurus kepada krisis sub-prima seperti di Amerika Syarikat apabila terlalu banyak rumah dibina dan dijual pada harga yang mahal akhirnya tidak mampu dijual semula setelah harga mencecah paras tertinggi, kemudian pembeli yang tidak dapat menjual hartanah itu tidak pula dapat membayar pinjaman bank, seterusnya mengakibatkan bank-bank kerugian dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.



4. Kerajaan pusat melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) setakat ini hanya membina 14 713 rumah mampu milik di 11 negeri di seluruh negara. Sedangkan kerajaan Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 31 Mei 2011 ini akan melancarkan fasa pertama projek rumah mampu milik sebanyak 6000 unit di negeri Selangor sahaja.



5. Kerajaan pusat mengkategorikan rumah mampu milik iaitu rumah di bawah RM220 000 sedangkan kerajaan Selangor mengkategorikan ia sebagai antara RM69 000 – RM100 000, bermakna rumah mampu milik kerajaan Pakatan Rakyat jauh lebih mampu dimiliki memandangkan 40% isi rumah di Malaysia berpendapatan RM1500 sebulan (jumlah terkumpul pendapatan dalam sebuah rumah) dan majoriti mereka adalah Melayu. Ini menguntungkan masyarakat Melayu malah boleh meramaikan lagi populasi Melayu di negeri Selangor. Juga menguntungkan kaum lain yang miskin.



6. Untuk rekod, baru-baru ini Sri Perdana yang masih baru dan telah sedia ada cantik telah diubahsuai dengan kos sebanyak RM65 juta, cukup untuk membina 2000 rumah kos rendah dan diberi percuma kepada rakyat termiskin, setinggan, dan merempat!



KENDERAAN



1. Berkenaan harga kenderaan yang mahal, setakat ini saya masih lagi menyokong polisi bagi melindungi syarikat-syarikat automotif negara. Mutu kereta Proton juga jauh lebih bagus berbanding dulu dan setanding dengan jenama luar negara yang sekelas dengannya.



PETROL



1. Kerajaan pusat dijangka membelanjakan RM18 billion bagi subsidi minyak tahun 2011. Pakatan Rakyat berjanji untuk menurunkan harga petrol (menambah subsidi) sekiranya dapat mentadbir negara. Tambahan subsidi itu bukanlah suatu mitos dongeng kerana ia boleh diperolehi dengan mengambil RM19 billion subsidi gas yang diberikan kepada syarikat-syarikat penjana tenaga bebas (IPP) setiap tahun.



2. Setiap tahun, Petronas menjual gas kepada IPP pada harga yang murah setelah diberikan subsidi sebanyak RM19 billion, tetapi IPP kemudiannya menjual elektrik yang dijana kepada TNB pada harga tinggi (harga yang sama walaupun TNB beli sedikit) dan bukannya pada harga subsidi, kemudian TNB pula menjual elektrik kepada pengguna pada harga subsidi. Bermakna IPP memperoleh subsidi yang begitu besar tanpa memulangkannya kembali kepada rakyat!



3. Perkara ini sering diajukan oleh pembangkang kepada kerajaan pusat tetapi kerajaan pusat banyak berdiam kerana mereka sendiri akui perjanjian itu berat sebelah, kerajaan hanya berkata ”Anwar, sebagai menteri kewangan ketika itu yang menandatangi perjanjian IPP”. Anwar pula menyatakan bahawa beliau dan pengerusi TNB ketika itu telah membantah isi kandungan perjanjian itu, tetapi oleh kerana keputusan terletak kepada kabinet maka dia tidak ada kuasa untuk menolak (terpaksa menurut perintah, dijadikan kambing hitam?). Pengerusi TNB tersebut telah meletak jawatan sejurus selepas itu.



TOL



1. Pakatan Rakyat berjanji akan menghapuskan tol PLUS (lepas PLUS, baru yang lain) dalam masa 100 hari pertama jika dapat mentadbir negara. Rasionalnya, bagaimana ia boleh dijayakan?



2. Setiap tahun PLUS mengutip tol sebanyak RM1.2 billion. Kos yang perlu ditanggung oleh PLUS pula ialah Gaji (RM0.3 billion) + penyelenggaraan (RM0.26 billion) + susut nilai (RM0.4 billion). Mengikut perjanjian, kerajaan pusat mesti menggenapkan jumlah kutipan tol PLUS menjadi RM2 billion. Ini bermakna duit rakyat digunakan untuk memberi sedekah kepada PLUS sebanyak RM0.8 billion setahun!



3. Susut Nilai RM0.4 billion setahun itu sebenarnya hanya dalam buku sahaja, ia sebetulnya tidak wujud. Lebuhraya yang sentiasa diselenggara tidak sama seperti kereta Volvo yang jika dibeli hari ini pada harga RM200 000, esok terus susut nilai menjadi RM80 000 walaupun belum digunakan. Susut nilai sebenarnya tidak wujud pada lebuhraya, malah sepatutnya nilainya makin bertambah kerana ia mempunyai tanah!



4. Kesimpulannya PLUS untung sebanyak RM1.44 billion setahun. Kerajaan melalui Khazanah Nasional hanya memiliki PLUS sebanyak 15% selebihnya dimiliki oleh kroni-kroni BN. Sudah berapa tahun PLUS mengutip tol? Sudah pasti sebahagian besar kos pembinaannya telah diperolehi semula.



5. Justeru kerajaan pusat di bawah Pakatan Rakyat mampu membeli PLUS melalui Khazanah Nasional dan KWSP yang memiliki dana yang amat besar, seterusnya menghapuskan tol-tol tersebut. Rakyat dapat berjimat untuk beli barang keperluan, ekonomi negara juga yang dapat manfaat.



C. Lain-lain perkara yang boleh meringankan beban hidup rakyat



1. Sering diperkatakan ’masih ada lagi janji kerajaan Selangor yang belum ditunaikan’. Ayat tersebut sebenarnya menggambarkan bahawa telah banyak janji yang telah ditunaikan tetapi masih ada sedikit lagi yang belum, bukankah itu lebih baik daripada tak ada langsung. Sesetengah janji-janji tersebut memerlukan masa sebelum dilaksanakan. Antara yang telah ditunaikan ialah air percuma, TAWAS, Skim Mesra Usia Emas, hadiah masuk universiti, elaun tambahan guru KAFA, mamogram percuma, tuisyen percuma dan banyak lagi.



2. Selain air percuma sebanyak RM11.40 sebulan, kerajaan Selangor juga telah berjaya menyekat SYABAS daripada menaikkan harga air sebanyak 37% pada 2009 dan setiap 3 tahun seterusnya. Kerajaan negeri sedang berusaha membeli SYABAS seterusnya menurunkan harga air. Selangor sebenarnya tidak perlu membazir beli air dari Pahang kerana jika air diurus dengan baik masih banyak lagi sumber yang boleh diperolehi di negeri Selangor sendiri.



3. Sebagai kontra, kerajaan Barisan Nasional mengurangkan subsidi minyak dan barangan keperluan. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula hendak dilaksanakan, di mana setiap barangan dan perkhidmatan akan bertambah harga kerana dikenakan cukai, setiap rakyat Malaysia tak kira kaya miskin harus membayar cukai ini setiap kali membeli. Ekoran pelaksanaan GST, cukai pendapatan akan diturunkan, namun ia hanya memberi faedah kepada orang kaya yang layak membayar cukai. Hanya 2 juta daripada 27 juta rakyat Malaysia sahaja yang layak membayar cukai.



D. Wakil rakyat yang lebih baik



1. Di tempat saya sendiri, dulu ADUNnya adalah dari UMNO, sekarang dari PAS. Banyak perbezaan antara wakil rakyat dulu dan sekarang. Dulu pejabat wakil rakyat sering ditutup, sekarang sentiasa dibuka, ramai orang datang setiap hari, wakil rakyatnya mudah didekati. Wakil rakyat sekarang sering turun padang menyelesaikan masalah penduduk. Jalan utama sering diturap dan rumput sentiasa dipotong, tidak seperti dulu yang jarang diperbaiki, hanya menunggu pilihanraya baru nak buat. Masjid dan surau penuh dengan aktiviti. Skuad Nahi Mungkar ditubuhkan di mana kita boleh hubungi skuad ini jika terdapat aktiviti maksiat atau mungkar seperti remaja lepak di luar buang masa waktu Maghrib.



2. PAS sering menganjurkan majlis-majlis bermanfaat, UMNO pula ada yang menganjurkan pertandingan karaoke dan aktiviti hiburan lain semata-mata ingin menarik sokongan anak-anak muda.



3. Jika anda pergi ke ceramah UMNO, ceramah akan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Lagu Negeri, kemudian lagu 1Malaysia. Sepanjang nyanyian yang berlangsung lebih 10 minit ini para hadirin yang kebanyakkannya atuk-atuk (penyokong setia UMNO) terpaksa berdiri lama dan nyanyi bersama. Nyanyian diketuai oleh koir makcik-makcik UMNO. Ini amat menggelikan! Ceramah selama 2 jam sepenuhnya berkisar tentang liwat lucah liwat lucah, esok pagi anda baca suratkhabar, beritanya berkisar liwat lucah liwat lucah, malam anda tonton berita di tv berkisar liwat lucah liwat lucah. Tidak ada langsung membicarakan hal ekonomi dan kesejahteraan rakyat kerana awal-awal lagi mereka telah kalah fakta!



E. Fitnah : Apa sebenarnya?



1. Benarkah semua tuduhan salah laku moral terhadap Anwar Ibrahim? Mengapa tuduhan itu berlaku ketika Anwar hendak bertanding kerusi parlimen Permatang Pauh (liwat) dan sebelum pilihanraya Sarawak (video)? Seperti telah dirancang.



2. Anwar dipenjara 6 tahun kerana kes liwat pada tahun 1998, tiba-tiba 6 tahun selepas dipenjara iaitu pada 2004 setelah Mahathir letak jawatan, mahkamah mendapati tidak ada bukti terhadap tuduhan itu dan beliau dibebaskan.



3. 2 hari sebelum diliwat Saiful Bukhari berjumpa dengan Perdana Menteri kononnya untuk meminta biasiswa pelajaran. Kenapa 2 hari sebelum diliwat? Kenapa seorang setiausaha sulit kepada ketua pembangkang, yang memperoleh CGPA yang sangat teruk (1.6), dengan tak tau malunya sanggup dan dibenarkan berjumpa dengan Perdana Menteri yang juga ketua kerajaan (parti lawan) untuk meminta biasiswa pelajaran??? Sangat tidak logik.



4. Video seks adalah tulen, adakah pelakunya tulen? Kecanggihan teknologi mampu dimiliki oleh sebuah kerajaan, mereka mampu mendapatkan topeng muka seperti dalam filem Mission Imposible contohnya atau pelanduk dua serupa yang perlu dimekap sedikit.



5. Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri, yang agak cenderung kepada pembangkang, mengikut pandangannya Anwar patut bersumpah laknat. Mufti Perak pula, Dr. Harussani yang sebelum PRU-12 cenderung kepada pembangkang tetapi selepas PRU-12 cenderung kepada kerajaan pula berpendapat Anwar tidak perlu bersumpah di khalayak, namun hanya perlu bersumpah di dalam mahkamah syariah setelah didakwa dan didapati bersalah sesuai dengan peraturan Islam supaya tatacara Islam tidak dipermain-mainkan. Jelas di sini para ulama berbeza pendapat, bahkan ulama yang cenderung kepada kerajaan juga tidak setuju sumpah laknat di luar. Anwar Ibrahim bersetuju dengan saranan Dr. Harussani ini.



6. Dalam Pakatan Rakyat hanya Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai masalah moral. Soalan saya, adakah sekalian banyak pemimpin-pemimpin UMNO itu bersih moralnya?



F. Siapakah pencacai yahudi yang sebenarnya?



1. Perkara ini masih dalam penelitian saya, benarkah Anwar Ibrahim pencacai Yahudi? Atau adakah ia hanya konspirasi?



2. Sejurus selepas Osama ’dibunuh’, Najib berkata ”..dunia akan lebih aman dengan kematian Osama”. Inilah kenyataan yang sama dikeluarkan oleh dunia barat tetapi dunia Islam pula berbeza pendapat. Malah Utusan Malaysia (akhbar UMNO) sendiri menyelar orang yang fikir bahawa dunia akan lebih aman dengan kematian Osama! Jadi, siapa pencacai Yahudi-Barat sebenarnya?



3. Telah terbukti kerajaan Malaysia membayar sebuah syarikat Israel (APCO) untuk mempromosikan 1Malaysia. Tugas mudah ini dibayar dengan harga RM77 juta, jumlah yang cukup banyak untuk membunuh rakyat Palestin!



G. Kesimpulan



Dengan mengubah kerajaan pusat, maka;



1. Kerajaan yang cekap dan amanah tidak perlu berhutang, negara akan selamat dari kebangkrapan.



2. Harga rumah dan petrol diturunkan, tol dihapuskan, cukai GST tidak dilaksanakan maka SEBAHAGIAN BESAR BEBAN RAKYAT berjaya dihapuskan.



3. Pelbagai program kebajikan rakyat mengurangkan lagi kos sara hidup yang membelenggu rakyat.



4. Rakyat diwakili oleh wakil rakyat yang bermutu dan dari kalangan profesional, bukannya wakil rakyat lulusan SPM yang tiba-tiba kaya selepas pilihanraya.



5. Sebelum 2008, janji-janji pembangkang disifatkan sebagai mitos. Namun kini mereka telah membuktikannya di beberapa negeri.



6. Bacalah Utusan Malaysia, bacalah juga Harakah, agar kita tidak terjerumus kepada kejumudan. Seperti kata Dr. Asri;



Allah mengingatkan kita tentang ciri-ciri insan berfikiran matang yang Allah redha, mereka itu dinamakan dengan Ulul Albab. Antara ciri mereka, seperti yang Allah firmankan: (maksudnya)



“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).



Maka, usaha mendapatkan maklumat yang adil sehingga dapat membuat pilihan yang terbaik adalah penyebab kepada seseorang insan mendapat petunjuk daripada Allah dan mendapat ganjaran pahala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan