
Pesuruhjaya Pengakap Daerah, Romeli Ismail berkata, penyertaan mereka dalam pasukan pengakap dapat membantu membina sahsiah terpuji, sekali gus mengelakkan mereka daripada mudah terpengaruh dengan gejala negatif.
Menurutnya, pasukan pengakap sentiasa menggalakkan perkembangan budaya dan nilai murni dalam kalangan ahli dengan mengajak mereka menjadi individu berdisiplin, bekerja secara berpasukan serta memupuk perasaan kasih sayang antara satu sama lain.
“Tidak rugi menyertai pasukan pengakap kerana banyak aktiviti diadakan menerusi pasukan ini, termasuk memberi bantuan, sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat tanpa mengira bangsa serta agama,” katanya kepada Sinar Harian.
Romeli berkata demikian ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guntong di sini, selepas mengetuai pasukan pengakap daerah menyertai Kempori Diraja Pengakap negeri Terengganu di Kem Telaga Batin, Kuala Terengganu, semalam.
Romeli berkata, seramai 80 pengakap daerah berkenaan menyertai kempori itu, bermula 29 hingga 31 Oktober lalu.
Peserta daerah membabitkan 40 pengakap kanak-kanak dan 41 pengakap remaja bersama 15 guru pengiring.
“Kami bersama 800 lagi peserta pengakap seluruh negeri menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan dan kempori berkenaan mencipta sejarah baru dalam era pengakap di negeri ini.
“Kami juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila menjadi johan pertandingan pintu gerbang dan kraf khemah terbaik mengalahkan tujuh pasukan lain pada program berkenaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan